Duta Besar Malaysia Kavakçı, megambarkan keakraban hubungan industri pertahanan Malaysia dengan Turki, Defensehere

Duta Besar Malaysia Kavakçı, megambarkan keakraban hubungan industri pertahanan Malaysia dengan Turki ,Defensehere.

Duta Besar Turki ke Kuala Lumpur Merve Safa Kavakci, dalam wawancara eksklusifnya dengan  Defensehere.com, beliau memberikan ulasan  mengenai hubungan antara Industri Pertahanan Turki, di Malaysia.

1. Bagaimanakah hubungan semasa industri pertahanan Turki dan Malaysia?

Sebagai negara yang ekonominya sedang membangun ketika ini, Malaysia, memainkan peranan efektif dalam dunia Muslim, merupakan salah satu sahabat rapat kami di rantau ini.

Sesungguhnya hubungan persahabatan dengan Malaysia telah terjalin sejak berabad lamanya dalam semua bidang. Dalam lawatan Presiden kami ke Malaysia pada tahun 2014 – ketika itu merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, beberapa kerjasama strategik telah dilakukan bagi membuka jalan untuk kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang.

Ternyata, kerjasama strategik yang dijalinkan dalam jangka masa panjang dalam industri pertahanan dan teknologi pertahanan telah menguntungkan kedua belah pihak.

Pada masa yang sama, minat syarikat-syarikat Turki yang beroperasi dalam industri pertahanan di Malaysia telah meningkat dari masa ke semasa. Sebagai contoh, salah satu syarikat ini telah menghasilkan banyak kereta perisai jenis 8x8 untuk kegunaan industri pertahanan Malaysia dan projek ini masih lagi diteruskan. Selain itu, sistem senjata pertahanan kawalan jauh juga turut dihasilkan.

Pertukaran lawatan kerja aras tinggi dan teknikal telah memberikan impak kepada perkembangan kerjasama dalam industri pertahanan. Sebagai contoh, penglibatan dan lawatan syarikat industri pertahanan kami ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (di Kuala Lumpur) dan LIMA (di Langkawi), yang mana merupakan antara pameran senjata dan pertahanan yang penting dianjurkan di Asia. Pada masa yang sama, pihak Malaysia juga telah turut serta dalam Pameran IDEF di Turki. Penyertaan dan penglibatan mereka di dalam pameran ini telah mengeratkan lagi kerjasama  antara kedua negara.

Semasa lawatan Presiden kami ke Malaysia pada bulan Disember 2019 yang lalu, pertukaran sebanyak 14 Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat utama yang beroperasi dalam industri pertahanan telah dilakukan dengan kehadiran kedua-dua pemimpin negara. Hal ini merupakan bukti kerjasama kedua-dua negara dalam industri ini.

Tahap kebergantungan kami terhadap negara luar dalam industri pertahanan telah menurun dengan ketara. Dalam masa yang sama, kemajuan sains dan teknologi juga semakin berkembang disebabkan minat dan pengiktirafan daripada Malaysia. Turki bukan lagi Turki yang pasif seperti dahulu. Turki hari ini mempunyai visi untuk menerokai ruang angkasa. Turki dengan Program Angkasa Negara.

2. Apakah peluang yang disediakan bagi syarikat Turki yang ingin mengeksport ke Malaysia?

Malaysia merupakan negara Muslim yang lantang dalam bersuara, namun masih mengekalkan budaya sopan santun. Lokasi geografinya strategik, dasar ekonominya dinamik dan terbuka serta dilengkapi tenaga kerja mahir. Di dalam wilayah ASEAN yang mempunyai populasi sekitar 650 juta orang ini, Malaysia sangat memainkan peranan penting dalam politik antarabangsa ASEAN di dalam dasar luarnya.

Pada hari ini, cabaran yang dihadapi masyarakat dunia terlalu banyak, kompleks, dan sukar diramalkan. Sebagai contoh, garis sempadan antara pandemik, perubahan iklim, keselamatan siber, keselamatan makanan, teknologi baru, keamanan dan perang dilihat semakin kabur.

Oleh kerana lokasi geografinya yang strategik, isu keselamatan dua hala dan rantau ini menjadi agenda utama di Malaysia. Hal ini dibuktikan dengan penglibatan aktif Malaysia dalam misi antarabangsa, dan juga dalam misi UNIFIL PBB.

Dalam konteks ini, kita tahu bahawa Malaysia sedang memperkasakan pertahanan mereka. Mereka juga mengikuti perkembangan dan mempercayai kemampuan produk-produk negara kami, serta melihat keberadaan dan kejayaannya dalam bidang industri pertahanan. Syarikat-syarikat kami juga sangat berminat dengan Malaysia. Oleh itu, kita boleh katakan bahawa hubungan ini bukan untuk sementara sahaja, bahkan ianya akan berterusan dari masa ke semasa.

Oleh kerana itu, beberapa tender yang dibuka baru-baru ini menarik perhatian sejumlah syarikat industry pertahanan kami. Tender seperti pesawat tanpa pemandu (UAV / drone), pembelian kenderaan berperisai 4x4, dan pembelian perisian elektronik canggih.

Tempoh penawaran dalam tender ini sudah ditutup. Diikuti tempoh penilaian semasa, Hasilnya akan diumumkan dalam masa terdekat. Kami juga sedang menantikan hasilnya dengan teruja.

Syarikat-syarikat pertahanan Turki juga berhubung dengan rakan kongsi mereka dari Malaysia untuk hala tuju pasca pandemik . Semangat ini sangat menyukacitakan kami.

3- Antara produk terkemuka industri pertahanan Turki dalam beberapa tahun terakhir ini adalah Kenderaan Tempur Tanpa Pemandu (UCAV) dari Turki. Bagaimanakah minat Malaysia terhadap UAV dan UCAV?

Pihak autoriti pertahanan Malaysia umumnya menunjukkan minat dan kepercayaan yang tinggi terhadap produk industri pertahanan berteknologi tinggi Turki .Terdapat peningkatan keperluan terhadap Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) dalam bidang pertahanan udara di dunia. Manakala negara kami, menjalankan kajian dan mengembangkan teknologi UAV secara intensif. UAV dan Pesawat Tempur Tanpa Pemandu (UCAV) , yang merupakan antara produk yang paling asli dan penggunaan teknologi paling maju Industri Pertahanan Turki menjadi perhatian di Malaysia.

Fakta bahawa UAV Turki dan UCAV digunakan di dalam dan di luar sempadan telah membuktikan prestasi mereka yang berada dalam persekitaran pertempuran ini sebagai faktor positif yang meningkatkan minat terhadap produk-produk ini.

Dua buah syarikat Turki telah mengemukakan tawaran dalam tender UAV (tidak bersenjata) yang dibuka oleh Malaysia baru-baru ini dan tempoh penawaran telah ditutup. Kami mengikuti keputusan tender dengan harapan ia akan memihak kepada syarikat Turki.

4- Dalam hubungan industri pertahanan di antara Turki dan Malaysia, perkongsian dan import-export teknologi juga merupakan agenda bersama. Apakah komentar anda mengenai ini?

Berkenaan pemindahan teknologi, ia sentiasa dalam agenda kami di dalam konteks kerjasama ketenteraan yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang akrab dan rapat. Kerana pengetahuan dan teknologi kami yang disokong oleh pengalaman dalam industri sentiasa berkembang dengan baik.

Dalam mempertimbangkan projek-projek kerjasama industri pertahanan yang dilakukan bersama Malaysia, kami gembira melihat syarikat-syarikat Turki bertindak berkoordinasi dengan Kementerian Pertahanan serta Ketua Industri Pertahanan dengan cara yang akan memberikan keuntungan tertinggi buat Malaysia.

5- Berkenaan perkongsian antara Malaysia dan Turki dalam Projek Pesawat Tempur Nasional turut ada di dalam agenda. Apa pandangan pihak Malaysia berkenaan kerjasama ini?

Pada Disember 2019, ketika Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, Pengurus Besar TUSAŞ , Tuan Temel KOTİL telah melakukan kunjung ziarah kepada Tun Dr. Mahathir Muhammad sebagai Perdana Menteri ke-7. Sewaktu itu, Tuan Temel telah menawarkan kerjasama perkongsian untuk Projek Pesawat Tempur Nasional. Namun begitu, seperti yang kita maklum, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir telah tumbang pada Februari 2020 yang lepas dan digantikan dengan kerajaan yang baru. Projek ini mungkin merupakan salah satu projek penting antara kedua-dua negara pasca-pandemik ini.

6- Apakah inisiatif yang telah dilakukan oleh Kedutaan Turki di Kuala Lumpur dalam usaha mengembangkan hubungan industri pertahanan antara kedua-dua negara?

Kami di Kedutaan telah membantu serta memberikan garis panduan kepada syarikat Turki yang ingin mengembangkan projek bersama dalam industri ketenteraan di Malaysia. Antaranya, syarikat yang ingin turut serta mengambil bahagian dalam tender dan yang ingin mencari rakan kerjasama tempatan bagi tujuan ini. Kebanyakan usaha ini dilakukan oleh attache ketenteraan kami.

Tambahan lagi, kami menyelaraskan permintaan mereka untuk mengadakan pertemuan dengan syarikat industri pertahanan dan pihak berkuasa rasmi di Malaysia dan memastikan pertemuan tersebut berjalan lancar.

Di samping itu, melalui pertemuan-pertemuan rasmi kami, beberapa agenda mengenai perkembangan industri pertahanan Turki dan projek kerjasama dapat direalisasikan di Malaysia.

Semua usaha ini telah mencipta peluang dan landasan yang sesuai untuk kejayaan syarikat industri pertahanan. Pada masa yang sama, hal ini telah menarik minat dan rasa ingin tahu di pihak Malaysia.

Sebelum tercetusnya wabak, pada Disember 2018, kami telah menjadi tuan rumah untuk delegasi kehormat dari Malaysia. Mereka terdiri daripada Menteri Pertahanan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera, dan Panglima Tentera Laut. Pada pertemuan tersebut, kami telah menganjurkan pertemuan antara mereka dengan syarikat-syarikat utama Turki yang terlibat dalam industri pertahanan.

Hasil daripada makluman positif yang diperoleh, Tun Dr Mahathir Muhammad, ketika lawatan rasminya ke Turki pada Julai 2019, telah melawat syarikat industri pertahanan kami serta telah mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai projek-projek yang dijalankan.

Seperti yang telah saya maklumkan, sebelum Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang diadakan pada Disember 2019, pertemuan antara syarikat industri pertahanan kami dan rakan kongsi mereka di Malaysia telah diadakan. Kami telah menggalakkan mereka untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sebanyak 14 perjanjian persefahaman telah dilakukan antara syarikat-syarikat dengan kehadiran pemimpin dari kedua belah pihak.

Selain itu, kami mengalakkan kedua-dua belah pihak membuat kesepakatan yang baru dan terkini, sesuai dengan keperluan masing-masing.

7. Apakah syarikat industri pertahanan Turki mempunyai perwakilan di Malaysia? Bolehkah anda memberikan maklumat ringkas mengenai aktiviti syarikat-syarikat ini?

Di Malaysia, ASELSAN mempunyai syarikat bernama ASELSAN Malaysia Sdn Bhd dan perwakilan yang menguruskan pelbagai projek.

FNSS, yang saat ini menghasilkan Kenderaan Tempur Berperisai untuk Angkatan Tentera Darat Malaysia, mempunyai pejabat bagi mengemas kini projek di bandar Pekan, di mana pengeluaran tersebut dibuat.

Syarikat perkapalan Turki, yang telah beroperasi di pejabat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 2017, telah menjalinkan hubungan dengan Angkatan Tentera Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk memenuhi keperluan pembuatan dan reka bentuk kapal.

Begitu juga HAVELSAN yang mempunyai wakil di Malaysia sejak 2019. Tidak kira sama ada syarikat industri pertahanan kami mempunyai pejabat atau tidak, kami di Kedutaan, memberikan segala jenis sokongan untuk kegiatan mereka dan kami akan terus melakukannya.

Leave a Comment